Memandangankan kecenderungan pihak media mengikuti perkembangan Perjanjian Jual Beli yang telah ditandatangani untuk penjualan 65% pegangan ExxonMobil dalam Esso Malaysia Berhad (EMB) yang merupakan syarikat awam yang tersenarai serta kepentingan sepenuh dalam ExxonMobil Malaysia Sdn Bhd (EMMSB) dan ExxonMobil Borneo Sdn Bhd (EMBSB), berikut adalah penerangan ringkas mengenai proses transaksi, pemilihan pembeli dan tindakan yang diambil ekoran pengumuman penjualan tersebut dan langkah-langkah yang akan diambil dalam tempoh masa peralihan. Proses dan Pemilihan Pembeli ExxonMobil telah melalukan proses tawaran secara terbuka dan adil (walaupun perlu dilakukan secara sulit) untuk melupuskan kepentingan dalam perniagaan hiliran di Malaysia. ExxonMobil telah menghubungi beberapa syarikat tempatan di Malaysia serta antarabangsa untuk menguji minat mereka untuk membeli perniagaan penapisan, bekalan dan pemasaran bahan api secara keseluruhan (iaitu syarikat operasi EMB, EMMSB dan EMBSB). ExxonMobil telah menjelaskan kepada kesemua pihak yang berminat bahawa hanya tawaran bagi pakej keseluruhan akan dilayani. Semasa proses penawaran, kesemua pihak yang berminat telah diberi peluang yang samarata untuk mengkaji data perniagaan serta berinteraksi dengan pasukan projek ExxonMobil di Fairfax bagi menilai samada anak syarikat tersebut boleh mendatangkan faedah kepada organisasi masing-masing. Berikutan penilaian bebas ini serta beberapa pusingan rundingan, setiap pihak yang berminat telah diminta untuk mengemukakan tawaran terbaik dan terakhir pada awal Julai untuk mengambilalih pegangan 65% ExxonMobil dalam EMB dan kepentingan keseluruhan dalam syarikat EMMSB dan EMBSB. ExxonMobil telah mengkaji tawaran-tawaran bebas ini dengan mengambil kira nilai keseluruhan pakej bagi ketiga-tiga entiti tersebut serta syarat-syarat perjanjian. ExxonMobil juga menimbang secara teliti bagi menentukan pihak mana yang akan membawa nilai terbaik kepada kakitangannya serta perlanjutan perniagaan keseluruhannya. Tawaran dari San Miguel Corporation (SMC) merupakan tawaran yang paling menarik untuk ExxonMobil dan pemegang saham dari segi harga pembelian serta mengandungi terma dan syarat kontrak yang jauh lebih baik. Di samping itu, hanya SMC yang mengemukakan rancangan untuk melabur dan mengendalikan Loji Penapisan Port Dickson untuk jangka masa panjang. Ada diantara pihak yang menunjuk minat mengambil alih perniagaan telah menyatakan rancangan mereka untuk menutup loji penapisan apabila peraturan bahan bakar bersih yang baru dikuatkuasakan. Adalah jelas SMC menunjukkan keyakinan mereka terhadap Malaysia sebagai destinasi untuk membangunkan serta meluaskan perniagaan dan ini harus dipandang secara positif oleh komuniti pelabur. SMC merupakan sebuah konglomerat besar, mempunyai perniagaan yang pelbagai dengan aset berjumlah hampir US$20 bilion. Ia merupakan pemegang saham terbesar dalam Petron, pemasar dan penapis minyak terbesar di Filipina, dengan kapasiti penapisan sebanyak 180 ribu tong sehari dan 1,700 tapak rangkaian peruncitan (anggaran 35% kedudukan pasaran). Melalui subsidiarinya, Petron, dijangka SMC akan membawa kepakarannya untuk mendatangkan faedah kepada Loji Penapisan Port Dickson dan perniagaan runcit. Peluang pekerjaan juga dijangka bertambah memandangkan rancangan SMC untuk mengekalkan kesemua kakitangan EMB, EMMSB, EMBSB dan mengambil pekerja baru untuk melaksanakan tugas-tugas yang kini dikendalikan oleh pusat perkhidmatan ExxonMobil di luar Malaysia. Tindakan / Kegiatan Setelah Persetujuan Dicapai Seperti yang sedia maklum, berikutan termeterainya Perjanjian Jual Beli dan pengumuman awam yang dibuat, pihak pengurusan ExxonMobil telah mengadakan forum bersama kakitangan di Kuala Lumpur dan di Port Dickson. Bagi menyahut hasrat kakitangan untuk memahami rancangan masa depan, Eric Recto, Presiden Petron dan ahli Lembaga SMC bersama dengan Naib Presiden Penapisan dan Naib Presiden Sumber Manusia Petron telah juga mengadakan forum bersama kakitangan pada 25 Ogos, 2011. Sesi-sesi ini telah diterima baik oleh warga kerja yang terbabit, yang berpeluang untuk berdialog menerusi sesi soal jawab. Tempoh Peralihan Oleh kerana ini merupakan penjualan saham, hanya pemegang saham untuk syarikat-syarikat gabungan ini akan bertukar. Dalam tempoh peralihan dan seterusnya selepas selesainya peralihan tersebut, ketiga-tiga syarikat gabungan akan terus beroperasi seperti biasa. Bagi menyempurnakan peralihan kawalan, satu pasukan yang terdiri daripada kakitangan ExxonMobil dan SMC telah ditubuhkan, khusus untuk aktiviti peralihan. ExxonMobil akan melaksanakan pertukaran pengurusan dengan mengikuti proses yang mapan dan mantap untuk menentukan tiada sebarang gangguan kepada perniagaan. Pasukan peralihan akan kerap berinteraksi dengan pihak pengurusan EMB, EMMSB dan EMBSB serta warga kerja dan akan melaporkan perkembangan terkini. Pada masa yang sama, pasukan peralihan akan menyelaraskan sebarang permohonan yang diperlukan, untuk kelulusan pihak berkuasa, dan akan memenuhi dan mematuhi dengan sepenuhnya peraturan yang dikenakan. ExxonMobil memang berhasrat untuk memberi tinjauan umum berkenaan kaedah proses penjualan, pembeli dan masa peralihan, dan sekiranya ada sebarang pertanyaan berkenaan perkara tersebut, ia boleh diterangkan dalam tempoh peralihan. Memandangkan minat yang mendalam yang ditunjukkan oleh berbagai pihak berikutan urus niaga ini, anda bebas untuk berkongsi kandungan surat ini dengan kakitangan, pemegang saham EMB dan pihak-pihak yang berkenaan. Surat asal ditandatangani oleh Stafford T. Kelly
|